Makluman

Blog ini diselia oleh Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Kata Aluan Presiden


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه ومن اهتدى بهديه باحسان الى يوم الدين   أما بعد
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Segala pujian bagi Allah yang Maha Besar,  selawat dan salam ke atas junjungan Nabi kita yang mulia, para sahabat dan keluarganya, golongan-golongan manusia yang menjejaki jalan kehidupan mereka denga ihsan hingga ke hari kiamat …..Amma ba’du


Kemunculan pelbagai mazhab dan pecahan fahaman akidah dipengaruhi oleh faktor asing daripada prinsip akidah yang sebenar. Walaupun perselisihan ini berlaku di peringkat awal generasi umat Islam, namun pegangan pada al-Quran dan Sunnah masih kukuh.

Al-Quran dan Sunnah menjadi sumber asal ajaran Islam dan penyelesaian yang menyelamatkan umat daripada terjebak dalam penyelewengan akidah yang ketara. Kemunculan generasi Salafus Soleh membawa akidah yang unggul dan mengutamakan ikatan persaudaraan Islam yang akhirnya berjaya mengatasi cabaran luaran dan dalaman.

Kini, musuh Islam menentang Islam dari luar dan dalam dengan menumpukan fahaman akidah yang memberi kesan yang berbahaya. Ia melibatkan fahaman dan kumpulan yang lama diasaskan dan ideologi moden yang wujud pada zaman penjajahan. Ideologi moden dibawa oleh golongan Sekularis yang menular dalam masyarakat Islam.

Kemudian, ia menyadurkan dengan nama Islam lalu mewujudkan fenomena baru yang pastinya membahayakan akidah. Memetik saranan Al-Allamah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, beliau sendiri menyarankan agar Malaysia kekal dalam akidah Asya'irah yang sudah menjadi aliranakidah yang rasmi bagi masyarakat Islam di Malaysia. Ribuan ulama' silam yang banyak berjasa kepada ummat Islam adalah dari aliran Asya'irah dan Imam Abu Hassan al-Asy'ari tidak mengasaskan aliran ini melainkan untuk membawa umat Islam kembali beriman kepada Allah dengan keimanan yang  sebenarnya.

Walaubagaimanapun, terdapat segolongan pihak yg masih menghukum sesat kepada akidah Asya'irah (Asyairah digelar Ahbasy oleh mereka) dan merasakan hanya kelompok mereka sahaja di pihak yg benar. Akidah Asya'irah ialah akidah yg dipegang oleh institusi-institusi pengajian dunia sejak di zaman lampau lagi seperti Universiti al-Azhar as-Syarif. Al-Allamah Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi hafizahullah pernah menyebut bahawa sesiapa yg menghukum sesat ke atas Asya'irah maka dia telah menghukum sesat ke atas ummah kerana jumhur ummah berakidah Asya'irah.


Wujud juga segolongan puak daripada aliran Asyairah yang menghukum kelompok aliran Salaf Ibnu Taimiyyah (Salafiyyah digelar Wahhabi/Mujassimah/Musyabbihah oleh mereka) dengan pelbagai gelaran dan cercaan. Ulama'-ulama' aliran Salaf juga mendapat nasib yang sama. Sedangkan PKA Jakim pada kali ke-14/2000, kali ke-20/2002 dan kali ke-23/2003 telah memutuskan Wahhabiyyah masih termasuk di kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah namun penularannya perlu disekat kerana dibimbangi boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia. Begitu juga dalam mesyuarat PKA kali ke-36/2007, kumpulan al-Ahbasy dan yang sealiran dengannya juga masih termasuk dalam golongan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Gelaran-gelaran seumpama itu cuma menambahkan lagi titik hitam perpecahan ummat Islam dan menguntungkan pihak Barat yang sememangnya menanti untuk meruntuhkan perpaduan ummat Islam.

Sebagai mahasiswa/i Pengajian Akidah dan Agama, permasalahan ini perlulah dititikberatkan memandang kita mempunyai tanggungjawab yang cukup besar iaitu sebagai benteng kepada akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Semoga Allah terus memberkati kehidupan kita dan mengurniakan kita keazaman yang kukuh untuk memperjuangkan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Harapan saya adalah agar siswa dan siswi Pengajian Akidah dan Agama terus menggali mutiara ilmu dalam segenap ilmu-ilmu Islam dan sentiasa tanamkan rasa cinta kepada ilmu dan ulama'.

Wassalam...

Khuwaidim al-Ilm
Al-Faqiirul Haqiirul Faanii,  
Mohamad Razif bin Mohamad Fuad al-Saadi

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cna certification