Makluman

Blog ini diselia oleh Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Basmalah Sebelum al-Fatihah: Sirr atau Jahar?

Allahuakbar 

Imam mengangkat takbir. 

"Alhamdulillah hirabbil 'alamin...."

Tercengang Pak Mat dan orang-orang kampung di belakang. Tidak pernah didengar imam tidak memulakan al-Fatihah dengan membaca basmalah. 
"Eh, tok Imam ni baca bismillah ke tak? Macam dengar tak dengar je...",getus hati Pak Mat
Pembaca mungkin pernah mengalami situasi sebegini. Mungkin juga pernah terdengar percanggahan pendapat tentang isu ini.

Bagi yang cepat menggelabah, mungkin terus mufaraqah (niat berpisah dengan imam). Namun, bila dinamakan fiqh, bermakna luaslah perbincangannya.

Begitu juga mazhab. Mazhab adalah aliran-aliran fiqh bagi mentafsirkan nas-nas dan pengambilan hukum daripadanya. Maka ia adalah metodologi-metodologi fiqh dan beristinbat (mengeluarkan hukum) dan mengetahui hukum.

Pertelagahan dalam bab fiqh adalah sia-sia kerana imam Mujtahid Mutlak keempat-empat mazhab telah bersetuju untuk berbeza pandangan (agree to disagree) dalam beberapa hal. Masing-masing mempunyai dalil yang kukuh dan jelas.

Jadi, siapa kita untuk menyalahkan yang lain?
  
Sebenarnya, ada tiga pandangan ulama dalam hal membaca basmalah sebelum al-Fatihah ini.

1. Basmalah Secara Perlahan
Ia merupakan amalan para sahabat Nabi seperti Saiyidina Abu bakar, Saiyidina Umar, Saiyidina Uthman, Saiyidina Ali, Ibnu Mas'ud, Ibnu Zubair, Ammar dan ijtihad ulama seperti Imam Abu Hanifah dan Ahmad.
Dalil bagi kumpulan yang membaca basmalah secara perlahan ialah daripada hadis. Bahawa Anas berkata : 
Maksudnya: "Aku solat bersama Rasulullah SAW dan Abu Bakar, Umar dan Uthman, dan tidak kudengari seorang pun di antara mereka yang membaca 'bismillah hirrahman nirrahim (dengan kuat)."
                                                                                       (Hadis Riwayat Muslim) 


2. Basmalah Secara Kuat (Jahar)
Ia adalah pandangan Imam Syafie, Said Ibn Jubair. Atho' Abi Rabah dan Mujahid. Imam Syafie berpegang kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa beliau berkata:

"Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW membuka pembacaan solatnya dengan bacaan Basmalah"                                                             
3. Tidak Perlu Sebut
Ia adalah pandangan Imam Malik dan hanya sunat dibaca ketika solat sunat.

Disebutkan juga dalam sesetengah riwayat (Musannaf, Ibnu Abi Syaibah) bahawa Saiyidina Umar al-Khattab membaca basmalah secara jahar. Selain itu Ibnu Zubair dan Muawiyah juga dikatakan membaca basmalah secara jahar. Namun, dalam hadis sahih di atas menunjukkan Saiyidna Umar tidak membacanya secara jahar.

Kesimpulan
Diharuskan untuk membaca basmalah secara jahar semasa solat jahar terutamanya apabila diyakini ijtihad yang menganggap Basmalah ialah salah satu daripada surah al-Fatihah

Disebutkan dalam satu hadis:

Maksudnya: "Apabila kamu membaca al-Fatihah, maka bacalah sekali basmalah, kerana sesungguhnya ia Ummul Quran dan tujuh pujian yang diulang, dan basmalah adalah salah satu daripada ayatnya."
                                                                              (Riwayat al-Dar Qutni)

Disebut lagi dalam sebuah hadis sahih
Maksudnya: Daripada Nuaim Ibn al-Mujmir berkata: Aku solat di belakang Abu Hurairah maka membaca basmalah dan kemudian membaca al-Fatihah sehingga akhir..., lalu Abu Hurairah berkata: Demi nyawaku di dalam tangan Alllah, sesungguhnya solatku adalah yang paling hampir dengan Rasulullah SAW"
                                                                                (Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Walaubagaimanapun, yang terbaik adalah imam menghormati uruf sesuatu tempat. Contohi Imam Syafie yang tidak membaca qunut ketika solat di masjid Imam Abu Hanifah kerana menghormati pandangan beliau. Jika di sesuatu tempat itu kebiasaannya membaca basmalah, maka bacalah kerana dikhuatiri akan timbul perbalahan dalam kalangan orang awam yang tidak memahami. Adalah lebih aula kita menumpukan hal yang besar daripada bertelagah dalam soal sekecil ini. Wallahualam.

Penulis adalah Mohamad Razif bin Mohamad Fuad, Presiden Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama (PERWADAH). Laman beliau boleh dilawati di http://raziffuad.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cna certification