Makluman

Blog ini diselia oleh Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Lagi pertempuran di Libya



RAS LANOUF, Libya 6 Mac - Helikopter tentera prokerajaan melepaskan tembakan ke arah tentera pemberontak yang bergerak menuju ibu negara ini di sepanjang kawasan pesisir pantai Mediterranean, menyaksikan kedua-dua pihak terlibat dalam beberapa pertempuran tegang.
Pertempuran dilapor berlaku di dua bandar yang terletak sejauh 30 kilometer setiap satu iaitu Ras Lanouf dan Bin Jawad di barat Libya.

Menurut doktor, pertempuran di Bin Jawad mengakibatkan dua maut sementara 30 yang lain dilaporkan cedera.
Pemberita Associated Press di tempat kejadian melaporkan, penyokong pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berjaya menawan semula Bin Jawad, kira-kira 160 kilometer di timur Sirte
yang juga kubu kuat pemimpin tersebut.

Pemberita turut menyaksikan serangan udara oleh helikopter yang disasarkan ke arah tentera pemberontak serta serangan bertubi-tubi di jalan raya.
Sementara itu di Tripoli, beribu-ribu penyokong Muammar Gaddafi berhimpun di jalan-jalan di Tripoli yang juga kubu kuat pemimpin itu, sambil mengibarkan bendera dan melepaskan tembakan ke udara bagi meraikan kejayaan mereka menawan kembali dua bandar yang sebelum ini dikuasai pemberontak.

Pihak berkuasa Libya berkata, bunyi tembakan senjata berat yang tidak biasa didengar itu bermula kira-kira pukul 5.30 pagi waktu tempatan bagi meraikan kejayaan tentera kerajaan menawan semula pelabuhan minyak Ras Lanouf di tengah Libya dan bandar Misrata di barat negara ini.

Penduduk di kedua-dua bandar itu bagaimanapun memberitahu, kumpulan pembangkang masih mengawal bandar tersebut.
Seramai 2,000 orang berhimpun di jalan-jalan Tripoli hari ini dan beratus-ratus lagi melalui jalan raya berhadapan kem tentera Bab al-Aziziya iaitu tempat Gaddafi tinggal sambil mengibarkan bendera, bersorak dan melepaskan tembakan ke udara.

Bunyi tembakan awal pagi itu kedengaran di Tripoli ketika konflik di Libya semakin meruncing, sekali gus memberi isyarat tentang kemungkinan pertempuran ganas terus berlaku dan berpanjangan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan dan boleh mengheret negara ini ke kancah perang saudara. - AFP

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cna certification