Makluman

Blog ini diselia oleh Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Pendirian PERWADAH Berhubung Isu Program Liqa' Anjuran SPMM

Sekadar hiasan

PENDAHULUAN

Lewat kini, sudah mula timbul beberapa isu di peringkat kampus berkenaan perihal tabdi’ dan takfir. Isu ini pada mulanya hanyalah sekitar hal-hal terpencil sebelum merebak kepada perkara-perkara yang lebih besar.

Menurut laporan yang diterima, wujud segelintir pihak yang menolak pelaksanaan usrah ataupun dinamakan sebagai Liqa’ di Universiti Sains Islam Malaysia. Program Liqa’ ini adalah hasil usahasama antara Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM.

Golongan ini dikatakan menghukumkan liqa’ atau usrah atau apa juga yang berkaitan dengannya sebagai haram dan bid’ah. Masih kabur mengapa pendekatan ini tidak dipersetujui oleh sesetengah golongan ini. Mungkin kerana berdalilkan perkara ini (usrah/liqa’/halaqah) tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W.  Mungkin juga ini disebabkan oleh pendekatan dakwah melalui usrah yang dijalankan oleh Ikhwanul Muslimin ini tidak dipersetujui oleh golongan ini.

Hakikatnya, memang terdapat beberapa perselisihan faham antara sebahagian dari golongan ini dengan manhaj yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin dan khususnya pendirian beberapa pimpinan  Ikhwanul Muslimin dalam beberapa isu.


Fokus utama Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama dalam artikel ini adalah untuk menjelaskan halatuju sebenar program Modul Pembangunan Insaniah Pelajar Muslim ataupun Liqa’ ini dan penafian terhadap pengharaman dan label bid’ah pada program Liqa’ ini.

TA’RIF USRAH
Sebagai pendahuluan, ditampilkan ta’rif usrah yang digagaskan oleh Imam Hassan al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin di dalam bukunya, Usrah dan Dakwah. Memetik kata-kata beliau,

“Sesungguhnya Islam memandang penting untuk membentuk ikatan-ikatan perpaduan untuk penganut-penganutnya. Ikatan-ikatan ini dinamakan ‘Usrah’ atau ‘Keluarga’.  Dengan terbentuknya apa yang dinamakan ‘Usrah’ atau ‘Keluarga’ seperti itu akan dapatlah dipimpin penganut-penganut Islam tadi ke arah contoh-contoh ikutan yang terbaik, dan dapatlah pula diperkuatkan ikatan-ikatan yang ada pada mereka, bahkan akan dapatlah dipertinggikan mutu ‘Ukhuwah’ atau ‘Persaudaraan’ di antara sesama mereka sendiri; iaitu dengan jalan membawa contoh-contoh ikutan dan persaudaraan itu dan peringkat perbualan dan pandangan teori semata-mata kepada peringkat tindakan dan amalan. Oleh itu, saudara sendiri juga hendaklah turut memandang berat serta bersedia untuk menjadi batu-bata yang baik lagi berguna kepada ‘bangunan’ keluarga mulia yang dibentuk ini; iaitu “Usrah Islamiyah” atau “Keluarga Islam”.1

Melalui penjelasan yang telah diutarakan oleh beliau, dapat disimpulkan bahawa usrah adalah tidak lebih dari sekadar satu wasilah untuk mencapai perpaduan umat Islam disamping menambah pengetahuan serta menggalakkan kepada output dari usrah iaitu dakwah.

Prof Dr. Taufik Yusuf al-Wa’iy di dalam bukunya القدرة الذهنية والذاتية للمربى والداعية menjelas manfaat-manfaat dalam usrah. Antaranya ialah:

1.       Membantu untuk membentuk keperibadian muslim sejati yang bersepadu dan holistik samada dalam aspek akidah, pemikiran, keilmuan, perilaku, gerakan dan pengurusan.

2.       Melatif ahli usrah supaya melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

3.       Merupakan satu proses melatih individu agar berupaya memikul tanggungjawab yang diamanahkan ke atasnya.

TA’RIF BID’AH

Merujuk Mukhtar as-Sihhah, bid’ah adalah “Mengadakan sesuatu yang tidak mengikut contoh”.

Jika diteliti dari sudut syarak, terdapat pandangan Imam Syafie berkenaan hal ini.

“Bid’ah itu dua jenis: “Bid’ah Mahmudah dan Bid’ah Mazmumah. Apa yang selari dengan Sunnah itu, maka ia dipuji dan apa yang bertentangan dengannya, maka ia dikeji.”

Dalam riwayat lain, Imam Syafie menyatakan:

“Perkara-perkara baru yang diadakan itu dua jenis: (Pertama), perkara baru yang bercanggah dengan al-Quran atau Sunnah atau athar Sahabat atau Ijma’, inilah Bid’ah Dhalalah. Dan (kedua), perkara baru yang diadakan dari segala kebaikan yang tidak bertentangan dengan mana-mana daripada empat perkara itu, maka ia adalah bid’dah yang bukan dikeji” Riwayat Al-Baihaqi dengan sanad yang sahih di dalam kitabnya, Manaqib Syafie. (Lihat Fath al-Bari, 17/10)


DALIL GALAKAN KEPADA PERPADUAN
Sesungguhnya usrah adalah salah satu daripada cabang usaha yang dilakukan untuk membentuk perpaduan. Ia bukanlah usaha untuk membawa umat Islam ke arah kesatuan dan perpaduan. Islam menyarankan supaya umat Islam kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah sekiranya berlaku perselisihan antara umat Islam. Firman Allah dalam Surah an-Nisaa’ ayat 59

 "Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kiamat, demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik sesudahnya”.

Merujuk kepada firman Allah S.W.T. di atas, terdapat beberapa dalil yang menunjukkan galakan kepada perpaduan yang merupakan antara teras utama dalam program Liqa’ ini.

Firman Allah:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara…”
                                                                                           (Surah al-Hujuraat ayat 10)

Firman Allah lagi:
Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai”
                                                                                             (Surah Ali Imran ayat 103)

Hadis Nabi saw bermaksud: "Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan Muslim yang lain. Dia tidak boleh menganiayainya dan tidak boleh menyerahkannya (kepada musuhnya)..." (Muttafak 'alaih)

ADAKAH USRAH ITU DIKIRA BID’AH YANG MENYELEWENG?

     Secara praktikalnya, dapat dilihat yang sistem usrah memang wujud sejak zaman Nabi SAW walaupun tidak dipanggil usrah. Usrah bukanlah asing di dalam Islam. Sejarah usrah bermula pada zaman Rasulullah (S.A.W) apabila seramai 30 lelaki dan wanita memeluk Islam.

       Sepertimana yang kita tahu sahabat-sahabat Baginda yang awal mendapat hidayah dari Allah SWT digelar sebagai Assabiqunal-Awwalun.Di dalam menjalankan usrah ini, Rasulullah telah memilih rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam sebagai tempat menyampaikan segala ajaran Islam, tunjuk ajar dan nasihat.Seruan ini telah berjaya menarik 40 orang lagi memeluk Islam dan kebanyakan mereka adalah golongan fakir miskin dan hamba yang tidak ada tempat dalam masyarakat Quraisy.

       Dengan bermulanya tapak pertemuan ini, maka bermulalah sistem usrah yang dapat membentuk manusia kepada perjuangan Islam.Setelah kewafatan Rasulullah SAW, sistem usrah telah diteruskan dan dilaksanakan oleh para sahabat, para tabi’ tabi’in dan hinggalah ke era globalisasi sekarang.

      Rantai penyambungan usrah yang dapat dilihat pada era kejatuhan Islam bermula semasa lahirnya seorang pejuang agama iaitu Imam Hassan Al-Banna pada era 20-an. Usrah telah dijadikan sebagai tunjang kepada pergerakan tarbiyyah sepertimana yang ada pada Ikhwanul Muslimin hinggalah ke hari ini.Manhaj dan sistem telah dibuat secara sistematik bagi melahirkan individu muslim yang memahami akan Islam dan perjuangannya.

     Sememangnya usrah, liqa’ atau apa sahaja namanya adalah perkara baru dalam Islam tetapi bukanlah semua yang baru itu menyeleweng dari Islam. Bahkan keindahan usrah itu dapat dilihat dari segi objektif dan juga pengisiannya.

OBJEKTIF PELAKSANAAN PROGRAM MUZAKARAH BERKELOMPOK (LIQA’) 2011
        Bagi menjelaskan lagi objektif sebenar pelaksanaan Program Muzakarah Berkelompok (Liqa’), disertakan di sini objektif pelaksanaan program ini yang diambil dari kertas kerja cadangan program ini. Antara objektif pelaksaanan yang ingin dicapai:
  • Membantu pelajar untuk membina keyakinan diri,kepimpinan, dan pengurusan.
  • Membantu pelajar membentuk pandangan alam yang selari dengan Islam.
  • Membantu pelajar untuk mengamalkan ilmu yang dipelajari
  • Modul ini menjadi ruang untuk merapatkan ukhuwah dikalangan pelajar USIM seterusnya mengukuhkan jalinan dengan USIM biarpun selepas bergelar alumni.
  • Membentuk pemikiran pelajar yang global dan prihatin.
        Berdasarkan objektif yang ingin dicapai di atas, jelas menunjukkan ia adalah usaha-usaha murni pihak Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM bersama Bahagian HEP USIM untuk melihat biah yang lebih baik di USIM.

       Untuk lebih memahami pengisian yang disampaikan di dalam program Liqa' ini, rujukan yang terbaik adalah buku Modul Pembanguanan Insaniah Pelajar Muslim tulisan al-Fadhil Ustaz Dr. Mohd. Radhi bin Ibrahim yang dijadikan buku rujukan utama bagi program Liqa' ini.

KESIMPULAN
Perkara yang membawa manfaat kepada agama, selayaknya diraikan dan bukannya di labelkan dengan pelbagai label yang kurang bersesuaian. Pihak Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama tidak melihat perkara ini sebagai bersalahan dengan Islam apatah lagi Sunnah Rasulullah S.A.W.

Justeru, adalah diharapkan artikel yang pendek ini dapat memberi penjelasan yang ringkas dan padat berkenaan isu ini dan seterusnya memurnikan kembali salah faham ini supaya tidak berlarutan. Tahniah kepada SPMM dan Bahagaian HEP USIM untuk pelaksanaan program Liqa' sesi pertama 2011. 

Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama mendoakan kejayaan dan kelancaran program ini dan sentiasa berada bersama pihak Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia dan Bahagian HEP USIM bagi menyokong sepenuhnya program ini dalam usaha untuk membentuk dan memelihara biah solehah di USIM.

Al-Faqiirul Haqiirul Faanii
Mohamad Razif bin Mohamad Fuad
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia
http://raziffuad.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cna certification